Monday, July 13, 2015

Rawatan untuk Penagih Dadah

    Rawatan dan pemulihan dadah yang berkesan seharusnya berasaskan kepada beberapa prinsip dan panduan antaranya seperti tiada rawatan tunggal yang sesuai untuk semua individu. Treatment setting, intervensi dan perkhidmatan yang disediakan hendaklah dipadankan dengan masalah dan keperluan tertentu klien untuk memastikan kejayaan mengembalikan fungsi produktifnya dalam keluarga, tempat kerja dan mayarakat. Kemudahan rawatan perlu sentiasa ada untuk memberi pertolongan kepada klien apabila ia memerlukan. Oleh kerana tidak dapat dipastikan bila penagih dadah akan tampil untuk mendapat rawatan, ambil kesempatan apabila ia bersedia untuk mengikuti rawatan kerana ia mungkin akan menghilangkan diri atau meneruskan aktiviti penagihannya jika kemudahan rawatan tidak disediakan serta merta atau tidak ada sepanjang masa. Kemudahan rawatan hendaklah mengambil kira pelbagai keperluan klien dan bukan memberi tumpuan kepada masalah penggunaan dadah semata-mata. Supaya menjadi berkesan, rawatan seharusnya memberi perhatian bukan sahaja terhadap masalah penggunaan dadah tetapi juga terhadap apa-apa masalah berkaitan dengan perubatan, psikologi, sosial, spiritual, vokasional dan undangundang. Rancangan rawatan dan perkhidmatan untuk klien mestilah dinilai secara berterusan dan dimodifikasikan apabila perlu untuk memastikan rancangan tersebut memenuhi keperluan klien untuk berubah. Klien mungkin memerlukan kombinasi perkhidmatan dan komponen rawatan yang berbeza semasa menjalani rawatan dan pemulihan. Dari perspektif terapi, klien pada satu masa mungkin memerlukan ubat-ubatan, perkhidmatan perubatan yang lain, terapi keluarga, kemahiran keibubapaan, pemulihan cara kerja, perkhidmatan sosial dan undang-undang. Perlu disedari bahawa pendekatan rawatan hendaklah bersesuaian dengan tahap umur, jantina, bangsa dan amalan budaya klien. Berada dalam rawatan untuk tempoh masa yang cukup adalah penting untuk keberkesanan rawatan. 



    Tempoh masa berada dalam rawatan yang bersesuaian untuk klien adalah bergantung kepada masalah dan keperluannya. Kajian menunjukkan kebanyakan klien mencapai garis masa perubahan yang signifikan setelah berada selama 3 bulan dalam rawatan. Selepas garis masa ini dicapai, rawatan tambahan boleh menghasilkan kemajuan selanjutnya ke arah kepulihan. Oleh kerana klien selalu meninggalkan rawatan sebelum masanya, program rawatan seharusnya melibatkan strategi untuk mengikat dan mengekalkan klien dalam rawatan. Kaunseling (individu dan /atau kelompok) serta terapi tingkah laku yang lain adalah komponen rawatan yang berkesan dan kritikal untuk penagihan. Dalam terapi, klien memberi perhatian terhadap isuisu motivasi, membina kemahiran untuk menolak penggunaan dadah, menggantikan aktiviti-aktiviti guna dadah dengan aktiviti-aktiviti yang konstruktif dan mengukuhkan aktiviti-aktiviti tidak guna dadah dan meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah. Terapi tingkah laku juga menggalakkan hubungan interpersonal dan mengembangkan kebolehan klien untuk berfungsi dalam keluarga dan masyarakat. Ubat-ubatan adalah unsur rawatan yang penting untuk kebanyakan klien, terutama apabila dikombinasikan dengan kaunseling dan terapi tingkah laku yang lain. Methadone dan Levo-alpha-acetylmethadol (LAAM) adalah berkesan dalam menolong penagih heroin atau opiateopiate lain untuk menstabilkan kehidupannya dan mengurangkan penggunaan dadah. Dari segi jangka panjang Naltrexone juga berkesan untuk membantu penagih-penagih mengurangkan keinginan terhadap dadah berasaskan opiate. Kedua-dua pendekatan rawatan ubat-ubatan dan terapi tingkah laku menjadi begitu penting untuk klien yang mengalami kecelaruan mental. 






Penagih dadah yang mengalami kecelaruan mental memerlukan dual-diagnosis dan perlu dirawat secara bersepadu. Oleh kerana kecelaruan penagihan dan mental sering dialami di kalangan orang yang sama, klien perlu dinilai dan dirawat atas kedua-dua patologi yang dialaminya. Medical detoxification hanya rawatan penagihan tahap pertama dan hanya sedikit sahaja menyumbang kepada perubahan penggunaan dadah jangka panjang. Detoksifikasi membantu klien menghilangkan gejala pengunduran dadah, tetapi detoksifikasi itu sendiri tidak cukup untuk membantu penagih dadah mencapai bebas dadah dalam jangka panjang. Namun demikian, bagi sesetengah klien ianya menunjukkan tanda awalan yang efektif untuk rawatan penagihan. Rawatan tidak semestinya bergantung kepada kesukarelaaan dan memerlukan kesediaan supaya berkesan. Tidak dinafikan motivasi yang kuat boleh mempercepatkan proses pemulihan. Namun begitu, sokongan, galakan dan gesaan keluarga, dorongan dan desakan majikan dan sistem perundangan jenayah boleh mendorong kemasukan untuk menjalani rawatan dan kejayaan intervensi pemulihan.

No comments:

Post a Comment